Sunday, December 22, 2013

Muslim terus leka, musuh terus bergembira

Dewasa ini sering kita melihat keadaan di mana perkataan Islam itu disalahgunakan. Nama Islam itu seakan-akan begitu murah nilainya ibarat dilelong di pasar malam.

Yang terbaru adalah sebuah laman web america.aljazeera.com berkenaan dengan kisah di mana seorang yang 'Gay" menjadi Imam. Bahkan, pengalaman juga telah membawa aku diceritakan bagaimana beberapa Muslim yang mengaku Gay telah pun menyalahgunakan ayat Al-Quran di dalam hujah mereka. Mereka mengatakan bahawa di dalam Surah an-Nahl (54-55). Surah ini menceritakan di mana Allah telah menegur kaum Luth dan kemudian menghukum mereka. Sebaliknya kaum ini pula mengatakan bahawa di dalam Surah tersebut ALLAH telah menegur kaum Luth bukanlah kerana mereka kahwin dengan mereka yang sama jenis. Sebaliknya, ALLAH telah menegur mereka kerana mahu mengadakan hubungan sejenis dengan Malaikat di mana Malaikat telah enggan melakukan hubungan tersebut. ALLAH menghukum kaum tersebut kerana tetap bertegas mahu melakukan hubungan sejenis dengan Malaikat walaupun enggan. Sebaliknya, jikalau diberi kebenaran, itu tidak menjadi masalah.

Bahkan, ini bukanlah kes pertama. Sebelum ini juga telah keluar pelbagai artikel berkenaan Masjid gay pertama di dunia di Perancis. Bahkan, menurut mereka, sudah terdapat lebih 20 Masjid Gay di seluruh dunia termasuk di Afrika Selatan dan beberapa masjid lain di sekitar Eropah dan ini hanyalah beberapa Masjid yang diketahui dan mungkin terdapat masjid lain yang tidak dilaporkan. Malaysia juga tidak terkecuali apabila beberapa lepas telah keluar artikel di Yahoo Malaysia menceritakan akan kisah seorang Melayu yang mengaku melakukan hubungan sejenis.

Jelas menunjukkan bahawa umat kini kian lama kian tenat. lebih memilukan adalah golongan ini menggunakan Al-Quran dan hadis sebagai hujah mereka untuk menghalalkan apa yang telah terag-terang diharamkan. Golongan-golongan sebegini juga semakin lama semakin berani tampil ke hadapan seperti "Sisters in Islam" yang semakin hari semakin garang bahkan dan diberi pengiktirafan. Persoalannya adalah, siapa yang harus dipersalahkan? Adakah salah golongan ini yang semakin berani tampil ke depan? atau sebaliknya golongan Muslim yang sekadar terus duduk di belakang dan memerhati.

Umat Islam kini lebih gemar duduk dan lihat dan kemudiannya menunding jari. Jikalau terdapat sesuatu masalah, jari akan ditunding ke arah mana-mana pihak yang dirasa perlu namun jarang sekali umat Islam menyalahkan diri mereka sendiri. Walhal, bukankah setiap dari kita adalah khalifah. Adakah dakwah dan perjuangan Islam itu hanya terletak pada pegawai agama dan imam Masjid semata-mata?

Sudah tiba masanya umat Islam sedunia tampil ke hadapan dan bersatu. Musuh-musuh dalam kalanga umat Islam kian berkembang dan nama Islam itu digunakan semurah-murahnya. Maruah Islam setiap hari kian tercabar oleh golongan-golongan yang menuntut hak mereka yang tidak pernah diiktiraf di dalam Islam. Jikalau perkara ini terus dibiarkan berleluasa, maka yang Hak itu akan kelihatan Batil dan yang Batil itu akan kelihatan lazim. Syaitan bertepuk kegembiraan, dunia terus dalam kegelapan.

Tatkala Islam tercemar, apakah jawapan kita pada ALLAH jikalau ditanya apakah sumbangan kita pada agama? Ingatlah,

"Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran
maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya
sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah
dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu
maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman"
Hadis sahih riwayat Muslim

No comments:

Post a Comment